Semasa

KPWKM sasar penubuhan sekurang-kurangnya sebuah Anjung Kasih YKN di setiap negeri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mensasarkan penubuhan sekurang-kurangnya sebuah Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di setiap negeri.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa ini terdapat 19 Anjung Kasih YKN yang beroperasi sepenuhnya termasuk terbaharu disediakan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bahru.

“Pembinaan Anjung Kasih YKN ini mendapat permintaan daripada pelbagai hospital di seluruh negara untuk mengurangkan beban penjaga pesakit terutama bagi pesakit yang lama dirawat di hospital.

“Insya-Allah sekurang-kurangnya satu Anjung Kasih akan dibina di setiap negeri, tetapi ada juga negeri yang mempunyai dua atau tiga fasiliti ini kerana keadaan landskap penempatan penduduknya terutama di Sabah dan Sarawak,“ katanya.

Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN sebelumnya hadir merasmikan Majlis ‘Better Brighter’ Anjung Kasih (YKN) – Tenaga Nasional Berhad (TNB) di HRPZII pada Isnin.

Beliau memaklumkan TNB menerusi tajaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN–TNB tersebut, iaitu projek pertama di negeri Kelantan.

Sebagai rekod, Anjung Kasih merupakan rumah penginapan sementara untuk golongan yang memerlukan khususnya ahli-ahli keluarga yang kurang berkemampuan tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan dengan berkonsepkan selesa, selamat dan berkualiti.

Anjung Kasih YKN yang pertama diwujudkan di Hospital Selayang, Selangor.

BACA LAGI: Kerajaan Sabah bakal sedia khidmat pemeriksaan kesihatan percuma untuk rakyat

Sementara itu menurut Nancy, setakat ini seramai 96,338 penghuni telah mendapat manfaat daripada penyediaan Anjung Kasih YKN yang ditubuhkan sejak 2006.

“Pesakit yang sedang menerima rawatan memerlukan bantuan menguruskan diri serta sokongan emosi daripada ahli keluarga atau waris, jadi fasiliti ini dapat meringankan beban perbelanjaan serta masa mereka untuk berulang-alik dari rumah ke hospital selain mengerat kasih sayang,“ katanya.

Related Articles

Back to top button