Pelantikan Mutang Tagal cipta sejarah, PM Anwar ucap tahniah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Mutang Tagal yang dilantik Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Anwar berkata, pelantikan Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
“Pelantikan ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf dan memastikan ruang suara, pandangan dan perwakilan daripada setiap kalangan rakyat, termasuk orang Ulu di Parlimen,” katanya.
Anwar melalui hantaran tersebut turut menyatakan harapan agar Mutang yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dapat menjalankan amanah diberikan dengan sebaik mungkin.
Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatannya dari jawatan itu bagi dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.
BACA LAGI: Agong berkenan terima menghadap ahli Pesuruhjaya RCI Batu Puteh dan pemimpin negara
Pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara yang berlangsung semalam, Anwar mengemukakan nama Mutang yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih ke jawatan itu.
Mutang, 69, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Curtin University dan kini menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).