Pengenalan Beras Putih Malaysia Madani mampu sekat campur tangan kartel beras – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat cadangan memperkenal Beras Putih Malaysia Madani boleh menyekat campur tangan kartel dalam industri itu.
Ditemui pemberita selepas melancarkan program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Menara Maybank, pada Isnin beliau bagaimanapun menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang keputusan berhubung pelaksanaannya.
“Ia akan dibincangkan dalam NACCOL (Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) akan datang dan belum ada keputusan,” katanya.
Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendakwa sekiranya Beras Putih Malaysia Madani diperkenalkan, ia akan menyebabkan beras putih tempatan tidak akan ada di pasaran.
Beliau juga berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup NACCOL , Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini mengumumkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.
Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kemudian tampil menegaskan kerajaan belum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan tersebut.
Katanya sebarang keputusan mengenai cadangan berkenaan hanya akan dibuat secara kolektif dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akan datang.
BACA LAGI: Mesyuarat Naccol Jumaat ini bakal bincang isu bekalan beras
“Justeru, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta dimaklumkan kepada jemaah menteri,” jelas Mohamad melalui satu kenyataan.