Parlimen

Yang Dipertuan Dewan Negara baharu tekad teruskan agenda transformasi Parlimen

Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu dilantik, Datuk Mutang Tagal bertekad untuk meneruskan agenda transformasi Parlimen yang dirancang kerajaan.

Berucap selepas mengangkat sumpah jawatan itu di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin, beliau berkata, pengalaman dan pengetahuannya sebagai pengamal undang-undang akan digunakan sepenuhnya bagi memperkasakan serta memartabatkan kedudukan Dewan Negara dan Parlimen sebagai badan legislatif di negara ini seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan meneruskan agenda transformasi yang telah dirancang termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan-pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, menambah baik Peraturan Mesyuarat ataupun Standing Orders dan juga pewujudan Kod Etika Ahli Parlimen,” katanya.

Melalui ucapannya juga, Mutang menyeru setiap Ahli Dewan Negara supaya berbahas dengan sebenarnya, secara konstruktif dan tegas menyatakan pendirian berlandaskan bidang kepakaran masing-masing

Ia jelasnya bersesuaian dengan peranan Dewan Negara sebagai the upper house harus sentiasa mengekalkan kredibiliti dan prestij dalam perbahasan sesebuah rang undang-undang yang telah diluluskan di Dewan Rakyat.

“Saya percaya setiap Ahli Dewan Negara yang membawa kredibiliti profesional masing-masing akan terus memastikan setiap undang-undang dibentang dan dibahas untuk kelulusan Dewan (Negara) yang mulia ini bukan sahaja memberi manfaat dan melindungi hak semua rakyat Malaysia, malah ia juga telah mengambil kira semua implikasi pelaksanaan,”tambahnya.

BACA LAGI: Pelantikan Mutang Tagal cipta sejarah, PM Anwar ucap tahniah

Dalam ucapannya, Mutang turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 15 Feb lepas hingga 24 Feb 2027, di samping mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mencadangkannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta penghargaan atas sumbangan Tun Wan Junaidi dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen di negara ini memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Negara ke-19.

Related Articles

Back to top button