Semasa

Jadikan bayaran insentif awal dorongan untuk penjawat awam kerja lebih kuat

Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 Jumaat ini perlu menjadi pendorong penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi membina Malaysia Madani.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata aspirasi Malaysia Madani tidak akan tercapai jika tiada kerjasama, sokongan dan dokongan daripada barisan penjawat awam.

“Aspirasi Malaysia Madani adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain,” katanya pada ucapan di majlis Madani Muhibah di Putrajaya pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam itu.

Melalui bayaran sekali gus pada 23 Feb ini, turut disalurkan adalah insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

BACA LAGI: Kerajaan beri Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam RM2,000, pesara RM1,000

Sementara itu Nga berkata, Malaysia Madani diperkenalkan Anwar merupakan usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Ia diiacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Justeru saya turut menyeru penjawat awam untuk fokus menyelesaikan masalah dan melaksanakan polisi bagi memenuhi keperluan semasa selain mencorak masa hadapan dan memenuhi potensi negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button