Nasional

KDN bentang cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan terkait hak kewarganegaraan kepada Jemaah Menteri

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika kesemua cadangan pindaan tersebut diterima, pembentangan di Parlimen akan mengikut jadual.

“Tapi kalau ada pindaan dan sebagainya maknanya kita akan meneruskan mengikut perancangan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Disember 2023, Jabatan Peguam Negara dilaporkan sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Saifuddin berkata, draf tersebut dipinda selepas mengambil kira input semua pihak melalui beberapa sesi libat urus termasuk bersama tokoh-tokoh individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang Perlembagaan, aktivis sosial, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan aktivis muda.

“Semua pandangan mereka kita ambil kira dan pada masa yang sama kita juga mendapat maklum balas daripada kerajaan Sabah, Sarawak dan juga Ahli Parlimen. Kita mendengar semua pandangan mereka dan kemudian kita ambil kira dalam input kita,” katanya.

Terdahulu, pada Selasa, Saifuddin telah mengadakan sesi libat urus berhubung Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.

” Saya sempat sampaikan intipati dan hasrat Kerajaan dalam cadangan pindaan ini agar setiap parti dapat memahami dengan lebih jelas berhubung pindaan ini.

“Insya-Allah RUU ini akan dibentangkan dalam sesi sidang Parlimen yang akan datang,” katanya.

Related Articles

Back to top button