ekonomi

Penurunan ringgit dipengaruhi tindakan China turunkan kadar utama pinjaman – Pakar

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pada Selasa menjawab kebimbangan orang awam terhadap penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Dipetik laporan Berita Harian, beliau berkata, trend mata wang banyak dipengaruhi faktor luaran termasuk pergerakan mata wang yuan China.

“Kita sedia maklum bahawa trend mata wang banyak dipengaruhi oleh faktor luaran. Terbaharu, bank pusat China telahpun mengurangkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas dan ia melebihi jangkaan penganalisis ekonomi. Situasi ini sudah pasti akan melemahkan mata wang yuan.

“Ringgit pula dilihat kaitan ketara dengan mata wang yuan. Maka sebarang pergerakan yuan sudah pasti akan memberi kesan kepada ringgit. Persoalannya, apa yang harus dilakukan oleh pembuat dasar?

“Persoalan ini tidak semudah yang disangka dan jalan penyelesaiannya juga tidak boleh disamakan seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun 1998,” katanya dipetik laporan itu.

Nilai ringgit mencatat penurunan ketara pada Selasa apabila mencecah paras RM4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu tambah Dr Mohd Afzanizam sebagai mengulas penurunan nisbah milikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelabuaran Kerajaan (GII) berkata, umum mengetahui bahawa pasaran modal Malaysia begitu terbuka kepada pelabur asing, susulan itu mereka bebas memiliki saham dan bon yang diterbitkan di Malaysia.

“Ada pelbagai sebab milikan asing berkurangan. Salah satunya adalah pulangan pelaburan yang lebih tinggi di AS berdasarkan perbezaan kadar faedah iaitu ‘Fed Fund Rate’ berada pada paras 5.50 peratus berbanding OPR 3.0 peratus.

“Namun, penyelesaian isu kelemahan ringgit melalui kenaikan OPR adalah tidak tepat kerana ia boleh melemahkan ekonomi domestik,” jelasnya.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, Jalan terbaik adalah dengan menunjukkan bahawa reformasi dasar ekonomi sedang dijalankan dan pelaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan

“Kemudian, komunikasi kepada rakyat, pelabur dan pengusaha perlu dijalankan supaya mereka mendapat gambaran sebenar apa yang ingin dicapai.

“Pendek kata, perlu konsisten dan realistik. Mungkin inilah caranya yang boleh menarik perhatian pelabur asing untuk membeli saham dan bon di Malaysia dan sekiranya ia berlaku secara berterusan maka ringgit bakal pulih dalam tempoh akan datang,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button