Semasa

PM Anwar laung ‘Merdeka’, kenang pengisytiharan kemerdekaan di Bandar Hilir

Laungan keramat ‘merdeka’ kembali bergema di Bandar Hilir, Melaka malam tadi selepas Tunku Abdul Rahman pertama kali mengumumkan kemerdekaan negara kira-kira 68 tahun lalu.

Ia sebagai simbolik bagi mengenang perisitiwa bersejarah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh sama semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelumnya tiba ke dataran itu dengan menaiki kereta antik jenis Nash Rambler Custom ‘convertible’ buatan 1951.

Kereta dengan nombor pendaftaran M4442 itu pernah dinaiki Tunku Abdul Rahman dan wakil Sultan Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz ketika negarawan itu bersama rombongan merdeka pulang dari London ke Padang Banda Hilir pada 20 Feb 1956.

Sebaik tiba di pentas utama dataran berkenaan, Anwar, yang melakonkan watak Tunku Abdul Rahman, membuat pemeriksaan barisan pemuda sebelum Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, yang bertindak sebagai Tun V T Sambanthan, mengalungkan bunga malai kepada Anwar sambil diperhatikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang melakonkan watak Setiausaha Agung MCA Tun Tan Cheng Lock.

Sambutan diteruskan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Acara Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Tun Abdul Ghafar Baba yang dilakonkan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, disusuli ucapan oleh Ab Rauf yang memegang watak Datuk Panglima Bukit Gantang.

Laungan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali kemudiannya bergema sejurus Anwar, yang memegang watak Tunku Abdul Rahman membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati sambutan ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Keris Sapukal, yang merupakan keris sebenar pernah dipegang oleh Tunku Abdul Rahman semasa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu turut diserahkan kepada Anwar oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin yang memegang watak Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Melaka pada 1956 iaitu Zainab Samdin.

Melaka mulai tahun ini mengumumkan tarikh 20 Febuari sebagai hari cuti umum Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Bersempena cuti umum semalam pelbagai lokasi tarikan pelancong antaranya Zoo Melaka, Malaysia Heritage Studios (MHS) ; Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Wonderland Theme Park & Resort dan banyak lagi dibuka secara percuma kepada pengunjung.

Related Articles

Back to top button