Politik

Puad Zarkashi, Lim Sian See sahut cabaran Rafizi

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi memaklumkan dirinya sudi menerima jemputan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli ke podcast beliau ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM).

“Terima kasih YB Rafizi kerana sudi jemput saya hadir ke podcast beliau ‘Yang Bakar Menteri’. Insya Allah saya akan hadir.

“Tetapi terlebih dahulu saya mendoakan agar YB cepat sembuh dan kembali bertugas seperti biasa. Amin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Puad berkata, beliau pernah berdebat dengan Rafizi itu dan ia bukan perkara baharu.

Menurutnya, debat berkenaan merupakan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Parti Keadilan Rakyat yang diadakan di Audotirium Bangunan Sultan Sallehudin Shah Alam, pada tahun 2016.

Tambah Puad, beliau akan hadir bukan sebagai ‘ayam tambatan’ Perikatan Nasional (PN), bahkan dirinya merupakan pengkritik tegar PN dan menyifatkan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai seorang Perdana Menteri yang ‘gagal’.

“Saya datang untuk mendapatkan penjelasan lanjut ‘formula’ YB untuk pulihkan ekonomi negara. YB yang minta tanya soalan yang membakar Menteri.

“Saya tanya untuk pastikan Kerajaan Perpaduan yang saya sokong ini ‘Walk The Talk’. Efisien dan padu. Bukan kaki temberang. Berehatlah dulu YB,” katanya.

Pada masa yang sama, pempengaruh media sosial, Lim Sian See turut menerima jemputan untuk muncul tetamu podcast YBM selepas Rafizi mahu mendedahkan wajah sebenarnya yang selama ini mempertahankan 1MDB.

“Tapi, saya minta sesi berasingan dari yang dua sahabat lain supaya boleh ‘one vs one’ (eksklusif) dengan YB sebab banyak benda untuk bertanya.

“Bulan Mac katanya sebab dia perlu tempoh dua minggu sembuh selepas dia menjalani pembedahan tulang belakang,” kata Lim dalam catatan di Facebook.

Terdahulu, Rafizi sedia berdepan dengan “orang kuat” bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rancangan podcast YBM.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR itu yang sedang menjalani rawatan di hospital berkata, beliau perlu mendapatkan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terlebih dulu.

Related Articles

Back to top button