Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy melihat Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi rakan kongsi India dalam sektor Elektrik dan Semikonduktor.
Reddy berkata, selain berpontensi kerjasama dalam bidang pembangunan kemahiran, pembinaan kapasiti dan kerjasama teknologi, India jelasnya melihat Malaysia sebagai hab dan entrepot bagi syarikat-syarikat India untuk berkembang ke negara-negara Asia Tenggara yang lain.
India kekal komited untuk memperdalam penglibatan ekonominya dengan Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhannya.
“Kita perlu berusaha untuk mempercepatkan penubuhan Startup Bridge dua hala, yang akan melengkapkan usaha untuk merealisasikan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 dalam mewujudkan 5,000 startup (syarikat pemula) menjelang tahun 2025.
“Kami melihat Malaysia sebagai hab dan entrepot bagi syarikat-syarikat India untuk berkembang ke negara-negara Asia Tenggara yang lain,” katanya.
Beliau sebelumnya menyampaikan ucapan pada Jerayawara Promosi Pelaburan & Perdagangan India 2024 di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Pesuruhjaya Tinggi itu juga berkata antara komponen utama Perkongsian Strategik Dipertingkat India-Malaysia adalah untuk meluaskan kerjasama ekonomi untuk faedah bersama, dengan pelaburan dua hala memainkan peranan penting dalam konteks ini.
BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor
Jerayawara itu juga jelasnya penting kerana India berusaha untuk memperkukuh perkongsian pelaburan dengan Malaysia untuk dekad yang akan datang.
“Melalui jerayawara ini, kami berhasrat untuk menghimpunkan pemegang kepentingan utama dari kedua-dua negara untuk meneroka peluang perniagaan baharu, menjalin perkongsian dan meningkatkan persefahaman bersama,” katanya.