Semasa

Jemaah Menteri lulus pembentukan akta berkaitan Majlis Media Malaysia

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu telah meluluskan pembentukan satu akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil dalam satu sidang media selepas mesyurat itu berkata, langkah seterusnya ialah proses membentuk undang-undang berkaitan oleh Jabatan Peguam Negara, dan dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.

“Jemaah Menteri telah meluluskan dasar bagi membentuk satu akta Majlis Media Malaysia. Kalau mengikut susur galur, dasar mengenai pembentukan satu akta penggubalan akta Majlis Media telah dimasukkan pada 2019.

“Tapi memandangkan terdapat perubahan Kerajaan, dan setelah terbentuk Kerajaan baharu pada Parlimen ke-15, iaitu Kerajaan Madani sekarang, maka perlu ada penyelarasan terhadap beberapa perkara dasar.

“Kita jangka jika tiada aral melintang, draf lulus dan bawa ke Parlimen bulan Jun ini,” kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.

Majlis Media Malaysia merupakan sebuah majlis media yang meliputi seluruh media di negara itu termasuk media cetak, elektronik (penyiaran) dan media internet.

Secara amnya, ia bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar/ media, sekaligus menjaga kepentingan negara.

BACA LAGI: Majlis Media Malaysia bakal jadi medium sistem aduan laporan berita 

Sementara itu dalam sidang medianya, Fahmi berkata, penggunaan kod etika wartawan yang berasingan daripada Kod Etika Wartawan Malaysia oleh Jabatan Penerangan (JaPen), adalah tertakluk kepada keputusan majlis tersebut.

“Sekiranya Majlis Media Malaysia pada satu ketika ingin membentuk atau mengguna pakai kod etika ini atau kod etika baharu, itu terpulang kepada mereka.

“Ini kerana JaPen akan menggunakan kod etika ini dalam konteks memberi atau menarik balik kad perakuan media. Kad perakuan media tidak diberikan oleh Majlis Media,” jelas Fahmi.

Related Articles

Back to top button