Semasa

Kerajaan Perpaduan tubuh Jabatan Pendakwaan Syarie, perkukuh ekosistem perundangan syariah

Kerajaan Perpaduan akan menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) sebagai sebahagian memperkukuh ekosistem perundangan syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan 30 NGO wanita Islam di Putrajaya berkata, proses penubuhan JPSM itu kini dalam peringkat perbincangan.

“Kita ingin tubuh JPSM dan ia sedang dalam peringkat perbincangan, moga ia dapat dihasilkan dan keseluruhan ekosistem perundangan syariah diperkukuhkan,” kata pada Rabu.

Zulkifli turut memberitahu, kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

“Bukan sahaja RUU355, kita akan bawa RUU lain seperti RUU mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan ada beberapa lagi. Kita bergerak secara menyeluruh bukan sahaja aspek RUU 355,” katanya dipetik.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata sesi libat urus mengenai RUU355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

BACA LAGI: Majlis Raja-Raja perkenan penubuhan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan

Sementara itu sebagai mengulas mengenai pertemuan dengan NGO wanita itu beliau berkata Majlis Wanita Islam Yadim (Mawim) akan menjadi penaung kepada gerakan wanita Islam bagi melaksanakan aktiviti dengan dibantu kerajaan dari aspek teknikal dan lain-lain.

“Kerajaan madani amat ambil berat tentang segmen dan hal ehwal aspek wanita. Kita ingin selaras, seragam dan kukuhkan aktiviti (libat NGO wanita),” jelasnya.

Related Articles

Back to top button