Global

Menteri Komunikasi kongsi pencapaian Malaysia terajui pelaksanaan 5G di Sepanyol

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil akan berkongsi mengenai pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G negara pada ucaptamanya di Mobile World Congress Barcelona (MWC 2024), Sepanyol pada 26 hingga 29 Februari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau turut akan berkongsi mengenai cabaran pelaksanaan rangkaian 5G negara, yang pelaksanaannya sudah mencapai 80.2 peratus setakat 31 Disember lepas.

“Dalam kongres kali ini, semestinya antara perkara yang kita akan lapor adalah pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G.

“…Malaysia mampu melakukannya (melaksanakan rangkaian 5G) dan kita menjadi bukti pertama di dunia rangkaian 5G dapat dilaksanakan menggunakan konsep rangkaian borong. Ini antara perkara yang kita akan bangkitkan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, pada Rabu.

MWC 2024 yang akan dihadiri Fahmi, merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang bakal mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

Pada 8 Sept 2023, Fahmi dalam ciapan di X berkata, beliau telah menerima jemputan khas daripada GSMA untuk menyampaikan ucaptama di MWC 2024. Jemputan khas itu diterima Fahmi semasa mesyuarat dua hala antara Kementerian Komunikasi dan GSMA di ibu negara, yang merupakan sesi susulan selepas mesyuarat pertama di Ibu Pejabat GSMA, London pada 14 Jun 2023.

Berkongsi penyertaan Malaysia di MWC 2024 nanti, Fahmi berkata selain mewujudkan Pavilion Malaysia yang disertai penyedia syarikat telekomunikasi negara, beliau juga akan mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain industri telekomunikasi antarabangsa dan GSMA bagi meneliti teknologi baharu dalam sektor itu.

“Selain rangkaian 5G, ada rangkaian 5.5G dan beberapa teknologi baharu. Semestinya bagi Kementerian Komunikasi dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sangat minat untuk mengenali dengan lebih mendalam teknologi yang mampu menyelesaikan masalah kesalinghubungan di kawasan-kawasan yang tiada liputan di seluruh negara.

“Ia meliputi meliputi kawasan di pedalaman dan kawasan-kawasan yang mungkin merupakan kawasan pelancongan, tetapi tiada penduduk serta laluan penting seperti ‘trunk road’ atau laluan utama antara kawasan yang berpenduduk. Jadi ini antara perkara yang akan kita usahakan,” katanya.

Related Articles

Back to top button