ekonomi

Mesyuarat khas JSSEZ minggu depan bakal dipengerusikan Perdana Menteri

Mesyuarat khas berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang dijadualkan pada 28 Februari ini akan dipengerusikan Perdana Menteri, kata Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat itu akan membincangkan perkara dasar mengenai penubuhan zon berkenaan, di samping menyelaras beberapa perkara berbangkit antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor bagi mempercepatkan proses penubuhannya.

Antara perkara lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas itu termasuk melibatkan isu sempadan serta hal di bawah punca kuasa MoF.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya telah menegaskan bahawa perlu ada suatu penyelarasan menyeluruh yang melibatkan agensi-agensi yang berkaitan di pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri berhubung penubuhan JSSEZ.

“Ini merupakan salah satu usaha untuk ‘fast-track’ perbincangan mengenai Zon Ekonomi Khas (JSSEZ) ini dan ia diharap dapat menyelesaikan beberapa perkara, supaya zon ini dapat dipercepatkan penubuhannya,” kata Fahmi pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Semalam.

Pada 11 Januari lepas media melaporkan Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menjayakan JSSEZ dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura, yang disaksikan Anwar dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

BACA LAGI: Malaysia-Singapura meterai MoU kerjasama bangunkan Zon Ekonomi Khas

JSSEZ yang menyasarkan sektor elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, menambah baik ekosistem perniagaan Iskandar Malaysia dan Singapura serta boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sementara itu berkata, antara yang turut dijangka menghadiri mesyuarat tersebut adalah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi danExco kerajaan negeri.

Manakala di peringkat persekutuan, wakil Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dijangka akan terlibat dengan mesyuarat tersebut.

Related Articles

Back to top button