Semasa

Orang ramai berpeluang perbaharui lesen pada Program Madani Rakyat hujung minggu ini

Orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan boleh berbuat demikian pada Program Madani Rakyat Zon Tengah bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pembaharuan lesen itu boleh dilakukan melalui Perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal beroperasi jam 9 pagi hingga 10 malam di Kompleks Sukan Kuala Selangor, menurut satu hantaran di Facebook Rasmi Malaysia Madani.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang untuk membuat pembayaran saman kecuali kes senarai hitam di perkhidmatan bergerak JPJ itu sepanjang berlangsung program tersebut.

Sekretariat Program Madani Rakyat melalui satu kenyataan sebelum ini berkata, program ini adalah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu.

Ia diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Zurihanmi Zakariya sebelum ini berkata KPKM akan bertindak sebagai kementerian peneraju bagi program itu

BACA LAGI: 163 perkhidmatan disediakan di Program Madani Rakyat di Kuala Selangor

Sebanyak 163 perkhidmatan kerajaan bakal disediakan untuk pengunjung membabitkan 121 perkhidmatan agensi Persekutuan daripada 26 kementerian, manakala selebihnya perkhidmatan kerajaan negeri.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http://www.malaysiamadani.gov.my.

Related Articles

Back to top button