Semasa

Pihak berkuasa pantau kegiatan Mawla Amin, pengikut – Menteri KDN

Polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau kegiatan lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada Rabu berkata, pihaknya mendapati individu warga Algeria memegang pasport Perancis itu sering keluar masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan berada di negara ini selama 90 hari.

Tambahnya, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sesuai sekiranya lelaki itu didapati membawa ajaran bertentangan Islam.

“Kalau aktiviti dia bersifat keagamaan dan kalau ada elemen pelanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang atau enakmen negeri, pihak polis akan kerjasama dengan pihak berkuasa negeri mengambil tindakan yang sesuai kalau berlaku percanggahan,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang memantau kegiatan Mawla Amin yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Ia susulan laporan sebuah media mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Media melaporkan pihak berkuasa Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

BACA LAGI: Kerajaan akan pastikan ajaran Mhd Mohib Khoulu Nazem tak disebar luas

Harian Metro dalam satu laporannya berkata, surat maklum balas daripada Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean yang menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain.

“Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya,” kata portal berita itu memetik surat keterangan pihak berkuasa Maghribi.

Related Articles

Back to top button