Negeri

Suasana pilu selubungi Istiadat Penghormatan Negeri Taib Mahmud

Suasana pilu menyelubungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebaik jenazah Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 7.50 pagi tadi.

Jenazah yang dibawa memasuki ruangan Atrium DUN diusung dengan penuh penghormatan kepada Allahyarham.

Turut mengiringi jenazah ialah anak Allahyarham Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Lapan orang pengusung dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya membawa masuk jenazah Allahyarham dan diletakkan di tempat khas di Atrium DUN Sarawak.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak dan Persatuan Qari Bahagian Kuching turut diperdengarkan sempena istiadat berkenaan.

Istiadat Penghormatan Negeri bermula pada 8 pagi hingga 11.30 pagi bagi membolehkan orang awam, dif-dif kenamaan dan ahli Kabinet memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Solat jenazah diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham disusuli istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya selepas solat Zohor.

Terdahulu, jenazah Allahyarham bekas Ketua Menteri Sarawak paling lama itu tiba di Kuching pada petang Rabu bagi upacara pengebumian selepas diterbangkan dari Subang menggunakan pesawat Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi Rabu selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.

Related Articles

Back to top button