Semasa

200 anggota PBT hadiri kursus, tingkat kecekapan dan integriti PBT

Kira-kira 200 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) menghadiri Kursus Pemantapan Penyata Kewangan anjuran Jabatan Audit Negara di Bandar Enstek, Seremban pada Khamis.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, kursus tersebut merupakan komitmen kementerian itu dalam meningkatkan kecekapan dan integriti PBT melalui pendedahan tentang ciri-ciri penyata kewangan yang cekap dan teratur kepada peserta.

“Kursus ini amat tepat dengan aspirasi Kerajaan MADANI supaya semua jabatan dan organisasi awam perlu mempunyai tatakelola yang baik, berkesan, cepat, cekap dan telus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti.

“Ini termasuk pengurusan sumber manusia, pengurusan perakaunan dan kewangan serta sistem pelaporan yang jelas. Perkara itu juga merupakan aspek penilaian utama dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan KPKT sejak 2009,” katanya melalui satu kenyataan.

Terdahulu beliau hadir merasmikan kursus yang julung kalinya dianjurkan itu.

Kursus tiga hari bermula Rabu itu merupakan inisiatif bersama JAN melalui Akademi Audit Negara (ANN).

BACA LAGI: KPT galakkan Universiti Awam jadi penyedia kursus jangka pendek

Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berasingan berkata kursus itu dirangka sebagai antara usaha pihaknya meningkatkan pengetahuan pegawai berkaitan penyediaan dan pengurusan penyata kewangan yang teratur bagi menangani isu-isu audit berkait dengan penyata kewangan PBT.

Beliau berharap ia dapat memberi pendedahan mencukupi terhadap aspek penyediaan penyata kewangan PBT yang lebih berkualiti dan sebagai platform berkongsi idea serta pengalaman bagi meningkatkan prestasi PBT.

Related Articles

Back to top button