Negeri

JAIS tak benarkan sebarang aktiviti babitkan Mawla Amin di Selangor

Negeri Selangor tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti membabitkan individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani di negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil pemantauan, pihaknya mendapati sebuah madrasah di negeri ini disyaki sebagai hos kepada individu terbabit sepanjang berada di Selangor tahun lalu.

“Sepanjang 2023, JAIS menghalang penganjuran apa-apa bentuk aktiviti membabitkan individu terbabit di Selangor.

“JAIS tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan perkara yang mendatangkan keraguan sehingga menjadi fitnah kepada Islam keseluruhannya.

“Kami menyeru semua umat Islam di Selangor lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara meragukan seumpama ini,” katanya, lapor Harian Metro.

Individu warga Algeria memegang pasport Perancis tersebut mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Isu mengenainya kembali hangat susulan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mendakwa ada usaha mewujudkan satu perkampungan ‘Kerajaan 9’ di sebidang tanah seluas 11 hektar Melaka sebagai persiapan pengikut individu itu menghadapi akhir zaman.

BACA LAGI: Pihak berkuasa pantau kegiatan Mawla Amin, pengikut – Menteri KDN

Sebagai rekod, sebuah portal berita pernah melaporkan bahawa pihak berkuasa Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu tersebut.

Harian Metro dalam satu laporannya berkata, surat maklum balas daripada Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

“Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya,” kata portal berita itu memetik surat keterangan pihak berkuasa Maghribi.

Related Articles

Back to top button