Nasional

JPJ berjaya kaut kutipan RM5 bilion pada 2023

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan perolehan kutipan hasil sebanyak RM5.07 bilion sepanjang tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perolehan JPJ itu meningkat sebanyak 3.53 peratus berbanding RM4.9 bilion pada 2022.

“Ingin saya kongsikan dan mengucapkan tahniah kepada JPJ kerana dalam sejarah, buat kali pertama hasil diperoleh JPJ mencecah RM5 bilion.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPJ dalam menjayakan peningkatan hasil ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sua Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Normah Osman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Loke berkata, kutipan hasil bagi kategori bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan turut meningkat daripada RM 501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta tahun lalu.

Katanya, peningkatan hasil itu termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF dan M_M yang dilancarkan masing-masing pada Mei dan Ogos 2023.

“Untuk siri GOLD yang dilancarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke -50 pada 1 Febuari 2024, JPJ merekodkan RM17.24 juta hasil kutipan.

“Ini termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan harga bidaan sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi siri nombor pendaftaran GOLD, seramai 23,160 pembida terbabit dalam proses terbabit dengan 6,810 daripadanya berjaya dalam bidaan berkenaan.

“Sekali lagi saya ingin memaklumkan 50 peratus daripada hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa ini akan disalurkan kepada inisiatif di bawah kementerian bagi tahun 2024.

“Ia termasuk bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar, subsidi FlySISWA dan caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada pemandu teksi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata bermula bulan Mac, semua pemandu teksi, bas sekolah dan rakan-rakan mereka daripada sistem pengangkutan lain bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Mengikut anggaran, untuk pemandu teksi dan pemandu bas sekolah yang terlibat jumlahnya adalah 35,000 orang dan 18,000 orang.

Menurut beliau lagi, 90 peratus caruman itu akan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus dibayar oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan adalah bagi tempoh setahun.

Related Articles

Back to top button