Kempen ‘Jom Beli Produk Hijau’ diteruskan tahun ini – Nik Nazmi
Kempen “Jom Beli Produk Hijau” yang dilaksana sejak September tahun lepas telah mencatat perkembangan positif.
Justeru kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad , kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan kempen tersebut pada tahun ini sebagai galakan untuk rakyat terus membeli dan menggunakan produk hijau.
“Ini satu usaha positif sebab kerajaan ada dasar perolehan hijau…kami teruskan (kempen ini) tahun ini dan akan maklumkan tentang butiran program beli barangan hijau,” katanya.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata begitu kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kempen “Jom Beli Produk Hijau” di Bangi pada Khamis.
BACA LAGI: Kerajaan lulus 22 projek Tenaga Boleh Baharu bekal tenaga elektrik hijau
Mengulas kempen tahun lalu beliau berkata, ia adalah usaha bersama antara Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan e-pasaran terkemuka, Shopee Malaysia.
Sepanjang diadakan, kempen tersebut telah mencatatkan jualan lebih RM250,000 dengan 3,000 barangan atau produk terjual melibatkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Bagi tahun ini, kempen akan menampilkan produk hijau yang diperakui di bawah skim pengiktirafan tanda MyHIJAU dan label disahkan hijau lain termasuk barangan isi rumah seperti detergen, cat, produk pembungkusan, peralatan dapur dan kertas.
Kempen jualan tersebut turut memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil yang menjual produk barangan hijau kepada pasaran lebih besar.
“Jadi kemahiran mereka ditingkatkan, selain dapat memperoleh keuntungan yang kemudiannya dikitar semula sekali gus menjadi syarikat lebih besar,” katanya.