Negeri

KKR salur RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan untuk kerja penyenggaraan

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan, cerun, jambatan dan bangunan Gunasama Persekutuan bagi tahun 2024.

KKR dalam kenyataan hari ini memaklumkan untuk melaksanakan sebanyak sembilan buah projek pembangunan Jalan Persekutuan di negeri itu yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya.

“KKR juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan dua cadangan permohonan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu isyarat pintar (STL) di beberapa lokasi di Jalan Persekutuan di negeri itu.

“Pemasangan STL ini merupakan langkah proaktif KKR dalam memperkasa pelaksanaan inovasi berimpak tinggi dengan menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar atau STL.

Difahamkan, pada tahun ini, KKR telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30juta untuk pelaksanaan STL di 148 lokasi persimpangan Jalan Persekutuan seluruh negara.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan pegawai-pegawai tertinggi KKR telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun dan pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Menurut KKR sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam memastikan infrastruktur awam disenggara dengan baik dan selamat, program MyJalan KKR berperanan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya akibat kerosakan jalan.

“KKR berhasrat memperluaskan Program MyJalan ini ke seluruh Malaysia bagi merealisasikan impian dalam menjadikan jalan raya di Malaysia dalam kondisi terbaik menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua jabatan yang terlibat dalam sektor penyenggaraan dan berkaitan jalan raya di Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button