Malaysia tingkat bantuan kewangan kepada UNRWA – PM Anwar
Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyatakan demikian dalam perbualannya bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selain menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan dalam pilihan raya Mesir.
Menurutnya lagi, selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan US$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA selain US$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan US$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
“Petang semalam saya sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dalam perbualan telefon itu, saya zahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.
“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai US$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.
“Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Saat ini, menurut Datuk Seri Anwar beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.
“Alhamdulillah, Presiden dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya.
Dalam perbualan itu, Anwar dan Abdel Fattah menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja terkait isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ini ke tingkat lebih tinggi.
“Saya juga jemput Presiden Mesir untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya.