ekonomi

Pemulihan ekonomi di landasan betul, Malaysia cipta sejarah pelaburan tertinggi tahun lalu

Tahun 2023 mencipta sejarah tersendiri apabila Malaysia mencatat jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan berkata, jumlah pelaburan tahun lalu adalah sebanyak RM329.5 bilion iaitu peningkatan 23.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut jelasnya, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Pelaburan itu menjana 5,101 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus dalam pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus dalam pelaburan asing,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).

BACA LAGI: PM Anwar gesa sokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan

Melalui kenyataan itu, Anwar menegaskan landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Secara tidak langsung, ini merupakan petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Related Articles

Back to top button