Program “Satu Kampung Satu Produk” bakal diperkasa dengan penghasilan lebih banyak bahan termasuk ramuan dalam pengeluaran produk halal, kata Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap dalam satu sidang media di Osaka pada Khamis berkata, usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat kampung perlu mengambil kesempatan itu dengan meneroka lebih banyak peluang pasaran di luar negara termasuk Jepun susulan permintaan global yang semakin meningkat.
“(Program Satu Kampung Satu Produk) sudah ada tetapi saya mencadangkan agar diintegrasikan kerana satu kampung sahaja tidak mencukupi (keluarkan sesuatu produk atau bahan ramuan), mungkin dicampurkan 50 hingga 100 kampung untuk mengeluarkan produk yang sama.
Tidak semestinya produk akhir tetapi ramuan juga telah memudahkan sebenarnya kerana permintaan banyak dan kita harus mengambil peluang ini. Bukan sahaja serai umpamanya, permintaan daun durian belanda juga tinggi untuk herba di sini serta pasaran Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia itu.
Ahmad Zahid sebelumnya menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan dua entiti di Jepun dalam sektor halal.
Beliau sebelumnya mengetuai delegasi Malaysia bertemu dengan pemain industri halal terkemuka Jepun dalam Sesi Meja Bulat: “Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti”.
BACA LAGI: Malaysia berazam terajui pasaran halal antarabangsa, sasar RM63.1 bilion menjelang 2025
Beliau sementara itu berkata, pengeluaran bahan ramuan termasuk untuk produk halal di bawah program berkenaan akan diintegrasikan bagi memastikan pengeluaran produk halal di pasaran sentiasa konsisten, sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co. Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.