Nasional

Sektor perladangan dipilih projek rintis, tingkat kemahiran bidang spesialisasi mesin

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pada Jumaat menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian Projek Rintis Machine Specialist antara Institut Perldangan Komoditi Malaysia (IMPAC) dan Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) di Pulau Carey, Selangor, hari ini.

Dalam satu kenyataan, KPK berkata nisiatif kerjasama menerusi projek rintis ini membuka peluang pekerjaan kepada warga belia (dikenali sebagai Projek Lokal) untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan yang berkebolehan secara praktikal serta memiliki pengalaman dalam bidang spesialisasi mesin.

Pada masa sama, antara objektif program yang berorientasikan jaminan kerjaya itu adalah bagi menyediakan 100 peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value job) dalam bidang Machine Specialist di sektor perladangan sawit.

“Projek yang akan dilaksanakan di Akademi Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Selangor mengambil masa selama tiga bulan dua minggu bermula pada Februari 2024 melibatkan 100 orang perantis.

“Antara kriteria pemilihan perantis adalah mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berumur 18 hingga 35 tahun (keutamaan diberikan kepada golongan B40), berminat dalam bidang jentera pertanian, latihan kemahiran teknikal, serta mempunyai kemahiran komunikasi dan interpersonal yang baik,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin menyaksikan sesi menandatangani perjanjian kerjasama antara SDPB bersama Universiti Malaya bagi Projek Alat Pemotong Laser (Laser Cutter Project) Fasa 2.

Projek kolaborasi tersebut telah bermula sejak 2021 bagi tujuan pembangunan teknologi pemotongan menggunakan laser bagi bidang kerja penuaian dalam industri perladangan kelapa sawit.

Tambahnya, kementerian sentiasa menyokong penuh inisiatif SDPB dalam mencapai hasrat meningkatkan penglibatan pekerja tempatan berkemahiran dan berkualiti secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Related Articles

Back to top button