Global

Bekas Presiden Tunisia dihukum penjara 8 tahun atas kesalahan ancam keselamatan negara

Mahkamah Tunisia pada Jumaat menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara terhadap bekas Presiden, Moncef Marzouki atas tuduhan mengancam keselamatan negara dan menghasut rakyat negara itu, kata seorang pegawai kehakiman.

Keputusan pemenjaraan terhadap Marzouki merupakan kali kedua dikenakan terhadapnya selepas keputusan sama pada 2021 menyaksikan Marzouki dipenjarakan selama empat tahun.

Jurucakap mahkamah Tunis, Mohamed Zitouna berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan Marzouki yang termasuk hasutan dalam ucapannya di Paris, tanpa memberi sebarang perincian butiran.

Marzouki yang dilantik sebagai Presiden Tunisia pada 2011 sehingga 2014 merupakan pengkritik tegar Presiden Kais Saied.

Tindakan Saied yang menutup parlimen serta mentadbir melalui dekri pada 2021 disifatkan Marzouki dan pemimpin pembangkang Tunisia sebagai rampasan kuasa.

Saied yang berjaya mengukuhkan kedudukannya melalui referendum pada 2022 bagaimanapun menafikan dakwaan rampasan kuasa dan menyifatkan tindakan yang dilakukan sebelum ini adalah untuk menyelamatkan Tunisia daripada situasi huru-hara yang dialami negara itu sejak bertahun lamanya.

Ramai tokoh-tokoh politik pembangkang seperti Rached Ghannouchi, ketua parti Islam Ennahda, dan Abir Moussi, pemimpin parti ‘Kebebasan Perlembagaan’ telah ditangkap di bawah pentadbiran Saied.

Pemimpin pembangkang menuduh Saied memusnahkan media dan melaksanakan pemerintahan secara kuku besi selain mendakwa perubahan perlembagaan oleh Saied telah meruntuhkan demokrasi yang dibina selepas revolusi 2011.

Saied menolak tuduhan itu dan menggelar para pengkritiknya sebagai penjenayah, pengkhianat dan pengganas serta memberi amaran bahawa mana-mana hakim yang membebaskan mereka akan dianggap bersubahat dengan pemimpin pembangkang.- Reuters

Related Articles

Back to top button