DOSM jangka pertumbuhan ekonomi lebih baik suku kedua 2024
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku kedua 2024.
Jangkaan itu disokong Indeks Pelopor (IP) yang pulih ke trajektori positif sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai 110.1 mata pada Disember 2023 berbanding 109.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Tambahnya, ini merupakan pertumbuhan positif yang pertama selepas penurunan sembilan bulan berturut-turut, didorong oleh lonjakan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (41.5 peratus) berbanding negatif 25.8 peratus pada November 2023.
“Melihat kepada prestasi bulanan, IP juga meningkat sebanyak 0.3 peratus, disumbangkan oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu lagi, kadar IP terlicin bagi Disember 2023 kekal di bawah trend 100.0 mata.
“Meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka lebih baik dalam tempoh terdekat, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan keadaan pasaran pekerjaan yang stabil,” jelasnya.
BACA LAGI: Pemulihan ekonomi di landasan betul, Malaysia cipta sejarah pelaburan tertinggi tahun lalu
DOSM yang merujuk kepada senario ekonomi semasa turut berkata,Indeks Serentak (IS) meningkat 2.3 peratus kepada 123.1 mata pada Disember 2023 berbanding 120.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh semua komponen kecuali Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.1 peratus),” katanya.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, IS menyusut 0.5 peratus bulan ke bulan, disebabkan oleh prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian yang tidak memberangsangkan (-0.3 peratus).