Nasional

JPA tawar usjian psikologi kepada pengunjung Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah

Buat julung kalinya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan ujian psikologi kepada pengunjung yang ingin mengukur personaliti, minat dan kesejahteraan di Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah mulai 23 hingga 25 Februari 2024 bertempat di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Menurut JPA menerusi satu kenyataan, terdapat sebanyak tiga jenis sesi khidmat kaunseling dan konsultasi yang disediakan oleh jabatan itu.

“e-Kaunseling Perkhidmatan Awam (EKPA) yang menawarkan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi melalui aplikasi e-KPA di portal JPA kepada pengunjung sepanjang program berlangsung. Jenis-jenis masalah yang dibincangkan semasa sesi kaunseling meliputi prestasi dan kerjaya, kesihatan, keluarga, pembangunan dan kemahiran, kerohanian, kewangan, sikap, ketagihan, serta psikososial.

“Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) iaitu proses saringan bagi mengetahui tahap kesihatan psikologi penjawat awam dan seterusnya akan mewujudkan panduan intervensi bersasar dan komprehensif mengikut keperluan.

“Terakhir ialah Terapi Biofeedback adalah terapi alternatif yang membantu mengawal fungsi badan dan seterusnya membantu menguruskan keadaan seperti sakit kronik, kebimbangan dan penurunan kawalan (incontinence),” katanya.

Pada masa yang sama, JPA turut menyediakan khidmat nasihat berkenaan dasar Skim Pencen yang sedang berkuat kuasa, urusan prapersaraan dan persaraan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Antara perkhidmatan yang diadakan meliputi kemudahan semakan penyata pembayaran pencen bulanan, promosi penggunaan aplikasi MyPesara dan cetakan baharu kad pesara.

“Pengunjung khususnya pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan khidmat nasihat penajaan berkaitan kemudahan bayaran balik pinjaman dan ganti rugi, lapor diri tamat pengajian, penangguhan balik, kontrak berkhidmat dan promosi bagi program penajaan Latihan Sebelum Perkhidmatan dan Latihan Dalam Perkhidmatan yang ditawarkan oleh JPA,” katanya lagi.

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Madani Rakyat yang akan diadakan selama tiga hari bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

Related Articles

Back to top button