ekonomi

Kerajaan rancang adakan sidang utama ekonomi Islam Mei ini

Kerajaan merancang menganjurkan persidangan utama ekonomi Islam pada penghujung Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan Kuliah MADANI di Putrajaya malam tadi berkata, persidangan itu akan menjangkau amalan tradisional ekonomi Islam.

“Asas-asas perundangan Islam tidak boleh diabaikan tetapi pada masa yang sama, wacana ekonomi Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada subjek perbankan dan kewangan tertentu.

“Jadi saya minta mereka (bank-bank Islam) berbincang tentang perkara tersebut kerana dalam beberapa bulan akan datang, mungkin hujung Mei ini. Insya-Allah kita berhasrat untuk mengadakan persidangan utama ekonomi Islam,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (CIEF) yang diadakan baru-baru ini, beliau menggesa institusi kewangan Islam agar bukan hanya semata-mata memperkenal instrumen Islam sahaja tetapi juga melihat isu teras yang mempengaruhi masyarakat Islam,

Ia termasuk dalam aspek kemiskinan tegar, ketidaksamaan, penyertaan wanita dalam ekonomi, perubahan iklim, peralihan tenaga dan transformasi digital.

“Bagaimana wacana bank-bank Islam boleh mengabaikan isu transformasi digital, atau peralihan tenaga, atau keperluan untuk menghasilkan lebih banyak lagi dari segi keterjaminan makanan?” soalnya.

Anwar menambah, semasa memperkenal falsafah MADANI kepada negara, beliau mengambil kira teras Maqasid Syariah kerana matlamat, niat dan objektif berkaitan dan ia merangkumi semua.

Maqasid al-Shariah ialah istilah yang merujuk kepada pemeliharaan keamanan, pencapaian kemaslahatan dan pencegahan kemudaratan atau kerosakan, dan penetapan persamaan dalam kalangan manusia bagi memastikan undang-undang dihormati, dipatuhi dan berkesan serta membolehkan ummah menjadi perkasa, dihormati dan berkeyakinan.

BACA LAGI: MADANI bukan sekadar pacu ekonomi, tetapi seni dan budaya Islam juga

Syarahan MADANI malam tadi disampaikan oleh Prof Jasser Auda, seorang ulama Islam yang juga Presiden Maqasid Institute Global, badan pemikir yang berdaftar dan menjalankan projek penyelidikan dan pendidikan di beberapa negara.

Jasser berkongsi pandangannya tentang metodologi Maqasid dan mengulas mengenai rangka kerja MADANI

Related Articles

Back to top button