Majlis Ilmu Madani akan berterusan, angkat martabat umat – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penganjuran Majlis Ilmu Madani adalah selari dengan usaha memberi kefahaman mengenai maksud negara Madani yang digagaskan oleh kerajaan pimpinan beliau kepada orang ramai.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Prof Dr Jasser Auda di atas pencerahan dan wawasannya di majlis tersebut mengenai konsep Madani dan hubungannya dengan agama pada majlis tersebut.
“Semoga perbincangan dan tradisi ilmu seperti ini akan berterusan dalam mencerdas dan mengangkat martabat umat.
“Selain itu, pendekatan dakwah juga harus berasaskan kefahaman yang lebih baik, pemikiran kreatif dan kritis,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Anwar hadir di Majlis Ilmu Madani di Seri Perdana, Putrajaya pada Jumaat dan turut bersama ialah Professor Pelawat ISTAC-UIAM yang juga Presiden Institut Maqasid Global, Professor Dr Jasser Auda, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Timbalan Menteri, Dr Zulkifli Hassan.
Anwar berkata, kepentingan meneroka instrumen ilmu Islam membabitkan isu lain secara bersama mencakupi perubahan iklim, isu transisi tenaga, transformasi digital dan kewangan Islam.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk menganjurkan persidangan utama ekonomi Islam yang menjangkau amalan tradisional dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, asas-asas perundangan Islam tidak boleh diabaikan tetapi pada masa yang sama, wacana ekonomi Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada subjek perbankan dan kewangan tertentu sahaja.
“Jadi saya minta mereka (bank-bank Islam) berbincang tentang perkara tersebut kerana dalam beberapa bulan akan datang, mungkin hujung Mei ini, Insya-Allah kita berhasrat untuk mengadakan persidangan utama ekonomi Islam,” katanya.