Anwar

Pintu masuk negara perlu dinaik taraf segera bagi menarik pelancong – PM Anwar

Prasarana industri pelancongan perlu segera dinaik taraf bagi menampung jumlah kehadiran pelancong asing yang semakin meningkat ke negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu perlu kerana ia tidak hanya menampung jumlah peningkatan pengguna, malah menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing ke negara ini yang ketika ini berlaku kesesakan di pintu masuk negara termasuk di lapangan terbang dan pelabuhan.

Kata beliau, perlu ada sinergi antara kementerian khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan untuk memacu industri pelancongan negara.

“Apabila pelancong datang, lapangan terbang dan pelabuhan harus efisien, harus diperbaiki. Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu harapnya siap secepat mungkin.

“Sekarang sampai ke Tawau jumlah pelancong (meningkat), tetapi kita tahu lapangan terbang di Tawau kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Sekarang ada.

“Kemudian menyegerakan tindakan. Asalkan kita ikut prosedur yang baik dan elak daripada amalan lama masing-masing hendak cari keuntungan dan ambil habuan.

“Kita harus percepatkan. Tidak boleh (lagi) hendak siapkan, baiki lapangan terbang yang biasa dulu tiga, empat tahun… tak boleh. Sebab itu saya sudah minta semua ini disegerakan.

“Lapangan terbang Tawau, Pulau Pinang yang sudah sesak harus diperbesarkan. KLIA umpamanya itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong sangat tinggi.

“Kita galakkan pelancongan, tetapi orang tersangkut (di lapangan terbang). Orang tak suka tunggu berjam-jam,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan bahawa setiap kampung, desa, bandar, rumah panjang, kampung Orang Asli diberikan dana antara RM50,000 hingga RM100,000 untuk menjana pertumbuhan ekonomi melibatkan lima sektor termasuk jahitan dan kraf tangan.

Katanya, setiap komuniti diberi kebebasan untuk bermusyawarah bagi memutuskan sektor pilihan dan kerajaan akan menyediakan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti Madani.

Related Articles

Back to top button