Semasa

Al-Quran tekan soal akhlak, perlu difahami secara menyeluruh – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menekankan soal akhlak dan nilai kemanusiaan yang dibicarakan dalam al-Quran mempunyai hubung kait dengan pembangunan sesebuah tamadun.

Pada ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival di Putrajaya pada Sabtu berkata, pembangunan negara tidak akan membawa sebarang makna sekiranya nilai-nilai kemanusiaan dan kebajikan rakyat diketepikan.

“Apa erti gedung hebat tetapi pekerja di dalam ditekan dengan gaji rendah? Jangan sambil kita membangun, kita merobohkan.

“Yang kita bangunkan ialah gedung besar, industri hebat tapi dalam masa yang sama kita robohkan akhlak, nilai kemanusiaan… dan keadilan disisihkan.

“Gedung syarikat untung berbilion, pekerja gaji terlalu rendah, sukar makan dan jaga keluarga. Gedung hebat, pendapatan tinggi tapi akhlak pekerja kian merosot,” katanya dipetik.

Melalui ucapannya juga Anwar berkata, al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam, harus difahami secara menyeluruh dan tidak ditafsir mengikut kesesuaian atau keutamaan sendiri.

Malaysia tegasnya tidak berpandukan teori ekonomi barat semata-mata, sebaliknya turut mengikut apa yang diterapkan al-Quran iaitu nilai, etika dan moral dalam pembangunan.

“Al-Quran itu tentang kefahaman, tak boleh ambil cebisan dan hukum saja. kita bicara tentang maqasid syariah.

“Matlamat syariah bukan soal hukum saja, ada matlamat keadilan dan keamanan ,”ujarnya lagi.

BACA LAGI: Bina semula negara dengan adanya asas agama, akhlak dan nilai – PM Anwar

Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah dan Buku Adab Madani, yang diharap dapat mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat seterusnya menggalakkan penulisan positif.

Related Articles

Back to top button