hiburan

Anak kelahiran Bumi Kenyalang, Roxy Ixzy dinobat juara Bintang RTM 2024

Tamatlah sudah perjalanan kesemua finalis Bintang RTM 2024 apabila peserta anak kelahiran Sarawak, Roxy Ixzy dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 2024 yang memperoleh markah sebanyak 87.3 peratus sekaligus menewaskan lima peserta lain.

Kejayaan itu menyaksikan Roxy Ixzy atau nama sebenar Roziena Ixzy Halix berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM78,000 dan juga sebuah kereta Proton Iriz.

Gadis kacukan Melanau dan Bidayuh yang berasal dari Kampung Bratan, Jalan Puncak Borneo, Kuching pada konsert akhir itu, menyampaikan lagu berjudul A Woman Worth yang dipopularkan oleh Alicia Keys.

Sementara itu, naib juara dimenangi oleh Dhania manakala tempat ketiga pula Hady Huv, masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 dan RM20,000.

Tempat keempat hingga keenam yang dimenangi Feka, Eylia Guntabid dan Joy turut menyaksikan kesemua mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Selain itu, Jon telah memenangi kategori Bintang RTM Paling Popular yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Bagi kategori Anugerah Juri Jemputan pula, Aina Abdul telah memilih Hady Huv yang melayakkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.

Minggu akhir menyaksikan kesemua peserta diberikan dua tugasan di mana tugasan pertama peserta perlu menyanyikan lagu solo pilihan masing-masing manakala tugasan kedua merupakan lagu duet bersama artis undangan.

Konsert akhir Bintang RTM 2024 turut diserikan dengan kehadiran penyanyi popular Indonesia, Anggi Marito yang membuat persembahan selingan.

Kesemua enam peserta akhir Bintang RTM telah diadili dan dinilai sepenuhnya oleh juri-juri profesional iaitu Datuk Syafinaz Selamat, LY, Ernie Zakri dan Aina Abdul.

Related Articles

Back to top button