Semasa

Cadangan tubuh semula Tribunal Penjawat Awam perlu dirujuk kepada KPPA, KSN terlebih dahulu

Sebarang perkara berkaitan perkhidmatan awam perlu dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) terlebih dahulu sebelum sebarang ketetapan dibuat.

Jurucakap Kerajaan MADANI Fahmi Fadzil berkata begitu sebagai mengulas cadangan supaya Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula sebagai sebuah platform untuk penjawat awam mendapat pembelaan

“Kita mungkin boleh teliti perkara ini dan perlu serahkan kepada KPPA dan KSN,” katanya ditemui media Malaysia di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke “Mobile World Congress” Barcelona 2024 yang bermula Isnin ini.

Terdahulu, Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyarankan agar Tribunal Penjawat Awam – yang pernah wujud suatu ketika dulu di bawah Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977 – dihidupkan semula.

Presidennya Alwi Shakir Abdullah berkata, antara peranan tribunal itu ialah menimbang tara sesuatu pertikaian membabitkan pihak yang berkenaan selepas keputusan gagal dicapai di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Cadangan itu dilemparkan Alwi susulan isu penurunan pangkat Datuk Dr Ammar Abd Ghapar daripada Ketua Pengarah kepada Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

BACA LAGI: Peraturan lapuk perkhidmatan awam bakal dipinda, percepat projek rakyat – KSN

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali malam tadi tampil menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

Related Articles

Back to top button