ekonomi

‘Kami tak umum jihad, tapi inflasi turun pada kadar terendah’- Rafizi jawab Annuar Musa

Kenyataan pemimpin Pas Pusat,Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kerajaan gagal mengawal keadaan ekonomi negara dibidas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi menerusi satu hantaran di laman X pada Sabtu menegaskan, Kerajaan Perpaduan sepanjang tahun lalu telah bertindak menstabilkan harga barang dengan menurunkan inflasi.

Langkah itu tegasnya bagi membolehkannya harga barang dikawal agar tidak terus melonjak naik sepertimana dialami kerajaan sebelum ini.

“Kami tak adalah umum sampai jihad lawan inflasi, tapi inflasi turun kepada kadar yang terendah.

“Kerajaan tumpu kepada perkara yang menjadi punca kenaikan kos sara hidup seperti gaji naik perlahan, maka (dilakukan) pelarasan gaji kakitangan awam dan dasar gaji progresif.

“Tambah kapasiti pengeluaran makanan dengan peruntukan besar untuk memodenkan pertanian selain baiki rantaian bekalan, maka kita secara berterusan lihat rantaian bekalan padi, telur dan makanan asas, menggalakkan penjualan berpatutan melalui Jualan Rahmah,” katanya.

Annuar yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ketika berucap dihadapan penyokongnya di Dewan Besar Markas Pas Kawasan Bagan Datuk, Perak mendakwa rakyat kini berdepan saat yang paling dahsyat dan sukar.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa harga barang ketika ini sangat tinggi dan cukai amat membebankan rakyat.

Sementara itu, Rafizi sebagai mengulas tuduhan Annuar berkata, selain menstabilkan harga barangan dan menurunkan inflasi, Kerajaan Perpaduan turut menitikberatkan penyasaran subsidi kepada keluarga memerlukan bagi mengurangkan bebanan tanggungan dengan pemberian sumbangan tunai.

“Sementara harga barang adalah fungsi penawaran dan permintaan, fokus kerajaan tingkat pendapatan rakyat, bukan semata-mata melihat kepada kos barang.

“Insya-Allah akan lebih membuahkan hasil daripada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,” katanya.

BACA LAGI: Malaysia berjaya lalui tahun mencabar 2023 – Fahmi

Sebagai rekod, Inflasi ketika zaman PN adalah pada kadar 4.0% dan pernah cecah 4.5%.

Usaha berterusan dilaksana Kerajaan Perpaduan bagaimanapun berjaya menurunkan kadar Inflasi negara sehingga 1.5%, manakala Inflasi makanan turun daripada 7.3% kepada 2.3%.

Related Articles

Back to top button