Semasa

Kemerosotan nilai ringgit tak jejas perolehan perubatan – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kemerosotan nilai ringgit ketika ini tidak memberi kesan besar terhadap perolehan dan pembelian ubat-ubatan dari luar negara.

Berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Pergigian Tanjong Karang semalam Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan kaedah pelindungan nilai (hedging) bagi mengelakkan mereka melaksanakan perolehan ubat-ubatan dalam harga yang tinggi.

“Dalam apa-apa (bentuk) perolehan pun, kami sudah buat hedging. Hedging ini maknanya kami Kementerian Kesihatan atau KKM telah melakukan pembelian lebih awal.

“Dari segi kewangan, kami laksanakan kaedah itu bagi mengelak daripada terkena mata wang yang berubah.

“Jadi kami beli dan lock in awal. Oleh kerana itu walaupun sehari dua ini mata wang kita sedikit mengurang, tapi sebenarnya (pembelian ubat-ubatan dari luar negara) berbayar dengan harga yang telah kami lock in terdahulu,” katanya.

BACA LAGI: Penurunan ringgit dipengaruhi tindakan China turunkan kadar utama pinjaman – Pakar

Nilai ringgit mencatat penurunan ketara pada Selasa apabila mencecah paras RM4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan faktor luaran termasuk pergerakan mata wang yuan China.

Penurunan itu bagaimanapun juga jelas Dzulkefly turut mendatangkan kesan positif khususnya dari sektor pelancongan perubatan kerana lebih ramai pesakit dari luar negara akan mendapatkan rawatan kesihatan dalam negara.

Related Articles

Back to top button