Semasa

PM Anwar arah kemudahan pintu masuk negara dipertingkat, tampung kedatangan pelancong

Projek berkaitan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan di pintu masuk negara meliputi lapangan terbang dan pelabuhan perlu disegerakan, gesa Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan memandangkan jumlah kehadiran pelancong yang meningkat.

“Kemudahan itu perlu efisien dan harus dibaiki bagi mengelak kesesakan di beberapa lapangan terbang tertentu termasuk di Tawau, Sabah serta Pulau Pinang.

“Saya minta semua ini disegerakan.. KLIA contohnya, itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong yang sangat tinggi,” katanya.

“Kita kena tarik pelancong dari luar, (jadi) tak bolehlah nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun,” katany pada acara yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dan Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan itu.

Anwar a yang juga Menteri Kewangan dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan untuk mempercepat proses peruntukan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

BACA LAGI: Kerajaan percepat projek pembesaran LTAPP

Keputusan itu jelasnya bagi memastikan LTAPP dapat menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.

Sementara itu tambah Anwar, ketua-ketua pengarah yang berkaitan perlu merujuk kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menyegerakan arahannya itu.

Bagaimanapun tegasnya, proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelak daripada amalan lama.

Related Articles

Back to top button