Agong beri ‘isyarat hijau’ kepada Speaker Dewan Rakyat ambil tindakan tegas kepada wakil rakyat melampui batas
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah Speaker Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat mesti menjalankan tugas dengan tegas bagi memastikan semua ahli mematuhi peraturan di sepanjang tempoh persidangan.
Seri Paduka Baginda, bertitah Baginda juga memberikan ‘isyarat hijau’ kepada Speaker mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan yang melampaui batas boleh ditegah (ban) daripada memasuki dewan selama 14 hari jika ada yang masih degil.
“Suka saya ingatkan Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun membuat peraturan dan Yang Berhormat semua adalah para penggubalnya.
“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal mematuhi peraturan yang dibuat.
“Saya harap semua Ahli-Ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan baik apabila berada di Dewan yang mulia ini. Oleh demikian, saya harap semua Ahli Dewan jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata sopan dan bukannya memaki hamun orang lain.
“Kalau tengok perangai Ahli Dewan sebelum ini, saya pun rasa malu hendak masuk ke Dewan ini,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini.
Berangkat sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.