Uncategorized

Kerajaan perlu rangka dasar kukuh perpaduan rakyat – Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah Baginda perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna.

Seri Paduka Baginda, bertitah ini kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

“Saya juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan Raja, kaum dan agama,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini.

Berangkat sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim, bertitah perlembagaan negara telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus dikekal pelihara.

“Namun begitu, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini,” titah Seri Paduka Baginda.

Related Articles

Back to top button