Semasa

Mosti akan bincang dengan KPKM, cara jalan tingkat penghasilan benih padi NMR 152

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mensasarkan usaha bagi meningkatkan kuota pengeluaran benih padi NMR 152.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, usaha itu susulan pengeluaran benih padi jenis itu masih berada di paras rendah dan tidak mencukupi.

Tambahnya, kuota tahunan pengeluaran benih baka baharu padi itu hanya sekitar belasan ribu metrik tan dan dianggap kecil bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pesawah terutama dari Selangor dan Perak.

“Benih itu menjadi pilihan pesawah kerana padinya berproduktiviti tinggi selain tahan penyakit, cuaca ekstrem, kemarau dan banjir.

“Justeru, kementerian mahu kuota pengeluarannya ditingkatkan sehingga 30 peratus di setiap negeri berbanding hanya 10 hingga 20 peratus ketika ini,” katanya.

Lih Kang berkata begitu selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Penyelidikan Padi NMR 152 di Kampung Sungai Leman, Sekinchan pada Ahad.

BACA LAGI: Bernas bantu usaha kerajaan tawar harga beras putih import lebih rendah

Difahamkan, benih padi NMR 152 di bawah Agensi Nuklear Malaysia mampu mengeluarkan hasil tanaman hingga 10 tan sehektar berbanding kadar purata hasil padi benih lain sekitar enam tan sehektar di kawasan tanaman sama.

Penghasilannya telah diiktiraf antarabangsa antaranya menerusi Anugerah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembiakan Mutasi dan Anugerah Forum Kerjasama Nuklear di Asia 2020.

Justeru, jelas Lih Kang, langkah seterusnya adalah untuk membincangkan isu benih berkenaan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak lama lagi.

Related Articles

Back to top button