Nasional

Pengemaskinian maklumat sistem PADU telah capai 3.80 juta individu

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah merekodkan jumlah pengemaskinian maklumat individu seramai 3.80 juta orang berdasarkan sumber data pentadbiran setakat Ahad.

Menerusi hantaran di Facebook PADU Official hari ini, pihaknya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan diberikan dalam mengemaskini maklumat diri dan keluarga dalam sistem tersebut.

“Jumlah pengemaskinian maklumat individu yang direkodkan sehingga 25 Februari 2024 pukul 11.59 malam telah mencapai seramai 3.80 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU.

“Terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia yang telah mengemaskini maklumat dalam sistem PADU,” katanya.

Menurut infografik yang turut dikongsikan bersama hantaran itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 0.57 juta individu, diikuti Sarawak (0.49 juta), Johor (0.37 juta) manakala Perak (0.34 juta) dan Sabah (0.32 juta) individu.

Bagi negeri-negeri lain pula, Kedah dan Kelantan masing-masing merekodkan (0.26 juta) individu, Kuala Lumpur (0.25 juta), Pahang (0.21 juta), Terengganu (0.20 juta), Pulau Pinang (0.19 juta), Negeri Sembilan (0.16 juta), Melaka (0.11 juta), Perlis (0.05 juta), Putrajaya (0.02 juta) dan Labuan (0.01 juta) individu.

Orang ramai boleh mengemas kini maklumat mereka di Padu menerusi laman sesawang www.padu.gov.my yang dibuka sehingga 31 Mac depan.

Related Articles

Back to top button