Semasa

Penjaja eksploitasi tapak bazar Ramadan bakal dikenakan tindakan – Setiausaha Politik PM

Penjaja tapak bazar Ramadhan di Kuala Lumpur diberi amaran agar tidak menyewakan premis mereka kepada peniaga lain.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata, tindakan tegas oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diambil sekiranya ada mana-mana penjaja dikesan melakukan perkara itu.

“Kita telah maklumkan kepada penguat kuasa DBKL bahawa kita perlu lebih tegas untuk tahun ini.

“Sekiranya kita dapati ada penjaja yang dapat (tapak) dan sewakan kepada orang lain, kita terus rampas lesen itu dan tidak dibenarkan berniaga selama-lamanya oleh DBKL,” tegasnya.

Azman Abidin berkata begitu kepada pemberita ketika ditemui selepas Sumbangan Back To School di Institut Latihan DBKL di Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau memaklumkan, ada aduan sebelum ini bahawa tapak bazar Ramadan dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menyewakan tapak itu dengan kadar bayaran lebih tinggi kepada peniaga lain.

BACA LAGI: Program ‘Satu Kampung Satu Produk’ diperkukuh, rebut peluang pasaran global

Meskipun isu terbabit dilihat mencabar untuk ditangani, DBKL jelasnya mempunyai pasukan petugas untuk melaksanakan penguatkuasaan membabitkan kesalahan itu.

“Kita tidak boleh kenal pasti mereka (yang menyewakan tapak dan menjual lesen) kerana walaupun mereka sudah sewakan (tapak) kepada orang lain, apabila ditangkap orang itu maklumkan dia bekerja dengan pelesen berkenaan.

“Jadi, itu antara masalah yang dihadapi. Tetapi kita cuba untuk pastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Related Articles

Back to top button