Program MADANI Rakyat Zon Tengah capai sasaran, lebih 120,000 pengunjung hadir
Matlamat Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor untuk merakyatkan setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan bagi masyarakat luar bandar telah mencapai sasarannya.
Menurut sekretariat penganjur, program tiga hari yang berakhir semalam merekodkan jumlah 127,000 pengunjung melepasi sasaran awal 100,000.
Program yang merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI itu telah menghimpunkan lebih 163 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan dan menjadi ‘pusat sehenti’ untuk rakyat.
“Kemeriahan program tertumpu kepada Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI yang menyaksikan pengunjung menggunakan peluang berkenaan bagi membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur dan ayam pada harga yang lebih murah,” kata sekretariat itu dipetik laporan media.
Selain reruai pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan perkhidmatan dan memberi maklumat inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan, pengunjung turut mengambil peluang menjelaskan kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di reruai yang disediakan.
Reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menawarkan penukaran topi keledar lama turut menjadi tumpuan orang ramai yang hadir ke program itu.
“Selain itu, karnival kerjaya yang turut diadakan dengan menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan membantu membuka ruang kepada warga luar bandar terutama anak muda untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” tambah sekretariat tersebut.
BACA LAGI: Majlis Ilmu Madani akan berterusan, angkat martabat umat – PM Anwar
Majlis Perasmian Penutup program itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada ucapannya, Anwar menzahirkan keyakinan program seumpama itu dapat menterjemahkan dan memperkukuh lagi kerangka konsep Malaysia MADANI.
Selepas ini, program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Zon Utara di Pulau Pinang yang dijadual pada 27 hingga 29 April, Zon Timur di Pahang (28-30 Jun), Zon Selatan di Johor (25-27 Julai) diikuti Sarawak (27-29 Sept).
Program MADANI Rakyat akan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Okt depan.