Selangor bina gudang makanan, jamin stok makanan sentiasa mencukupi untuk rakyat
Kerajaan Negeri Selangor sedang melaksana usaha bagi memastikan stok makanan di negeri itu mencukupi untuk penduduknya.
Mengulas kebimbangan mengenai bekalan makanan susulan fenomena el-nino, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebuah stor tempat simpanan makanan berunsurkan karbohidrat iaitu beras dan protein sama ada ikan, daging atau ayam kini sedang dalam proses pembinaan.
Stor yang terletak di utara Selangor akan memastikan jaminan makanan kepada kira-kira tujuh juta rakyatnya dapat dipenuhi bagi tempoh tiga bulan sekiranya berlaku sebarang bencana termasuk kemarau.
“Insya-Allah kalau projek ini lengkap, Selangor akan mempunyai keterjaminan makanan sehingga tiga bulan.
“Maknanya, kalau adanya peperangan sekitar (antarabangsa) dan beras tidak dapat diimport dan sebagainya, kita masih ada bekalan makanan.
“Jadi, Selangor akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang akan mempunyai daya tahan kerjaminan makanan selama tiga bulan tanpa ganggu-gugat daripada mana-mana pihak,” katanya.
Amirudin sebelumnya ditemui di Ekspo Jualan Termurah MADANI di Pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang pada Ahad.
BACA LAGI: Rakyat Selangor dipelawa mohon subsidi yuran bulanan taska RM100
Sementara itu Amirudin berkata kerajaan negeri berhasrat menggabungkan Jualan Ehsan Rakyat (JER) dianjurkan kerajaan negeri dengan program Jualan Termurah MADANI oleh persekutuan.
Hali itu katanya bagi membolehkan rakyat berbelanja dengan lebih murah seperti dilakukan menerusi Jualan Ehsan Rahmah hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kita sasar paling tidak, satu (kawasan) Parlimen satu kali dapat dibuat dalam tahun ini dengan melihat kepada kekuatan dan kemampuan kita.
“Saya akan mempertemukan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam mencari pendekatan lebih baik dan tidak menelan subsidi besar dalam masa sama memastikan barangan sampai kepada rakyat dengan harga murah,” katanya.