Uncategorized

Semua pihak mesti terima kenyataan, hormati Kerajaan Perpaduan – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan Baginda juga tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada yang hendak bermain politik tunggulah masa pilihan raya akan datang.

“Ucapan saya hari ini juga, lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang yang tersinggung tapi akan datang harap berjaga-jaga,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa segala usaha membela nasib rakyat perlu menjadi keutamaan Ahli Parlimen dan bukannya parti politik atau diri sendiri.

Seri Paduka Baginda turut bertitah kedudukan Baginda adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua sama ada yang duduk disebelah kanan saya atau disebelah kiri saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan berkerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara bukan terletak dibahu Perdana Menteri sahaja, tetapi semua 222 Ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka.

“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini.

Berangkat sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Related Articles

Back to top button