Semasa

Semua projek kerajaan perlu serah laporan bulanan, pastikan tidak jadi projek ‘Gajah Putih’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan semua projek pembangunan oleh kerajaan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

Berucap pada penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada Ahad, beliau yang juga menteri kewangan berkata, arahan sudah diberikan agar setiap jabatan, agensi kerajaan dan kementerian menyediakan laporan bulanan bagi setiap projek yang dilaksanakan.

Langkah itu tegasnya untuk memantau perjalanan projek sekaligus meyakinkan semua bahawa apa saja projek yang diumumkan kerajaan akan tetap dilaksanakan.

“Kalau tidak (dipantau dan disediakan laporan bulanan) apabila kita umum projek tetapi pelancarannya hanya dilaksanakan sebelum pilihan raya, jadi saya nampak tiada kesungguhan.

“Jadi saya harap, budaya ini (laporan bulanan) daripada penjawat awam ke jabatan, agensi dan kementerian serta menteri dapat dilaksanakan supaya dapat kita pantau dengan baik,” katanya.

Memberi contoh pelaksanaan projek tebatan banjir yang mana ia mengambil masa lama untuk disiapkan, projek yang tidak dipantau secara bulanan jelasnya akan merisikokannya terbantut.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI lulus peruntukan pembangunan RM2.81 bilion untuk Kelantan

“Ada satu kes mengenai tanah bagi pembangunan klinik, dengan adanya pemantauan baru diketahui ada tanah yang di ambil kerajaan 40 tahun lalu untuk pembangunan klinik tetapi sampai sekarang tidak dibangunkan

“Memang sesetengah kes ada alasan munasabah diberikan, macam tanah itu tanah gambut tidak sesuai bagi pembangunan atau peruntukan peringkat awal tidak cukup.

“Begitu juga dengan projek kecil seperti di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkaitan mutu dan produktiviti padi, kedudukan tanah dan kadar kandungan asid… jika ada laporan bulanan dan kefahaman, maka lebih mudah untuk kita mengambil tindakan.

“Ketika ini hanya apabila menteri datang, barulah ada laporan sedemikian diberikan atau kena tunggu laporan enam bulan sekali,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button