Parlimen

Dewan Rakyat bersikap tegas, tidak akan tolak ansur dengan Ahli Parlimen tidak patuh peraturan – Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar Peraturan Mesyuarat ketika persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menurut Johari, beliau juga turut memaklumkan kepada kedua-dua timbalannya, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menimbulkan kekecohan.

“Saya harap semua Ahli Parlimen dapat memberikan contoh yang baik kepada rakyat sepanjang berada dalam Dewan Rakyat. Ahli Yang Berhormat kena sentiasa mempamerkan kematangan ketika berucap.

“Saya juga nak maklumkan kepada timbalan-timbalan untuk memastikan masalah-masalah Yang Berhomat yang berlaku di luar dewan sama ada peperangan yang berlaku antara parti ke parti, atau apa juga di media sosial, selesaikan di luar dan jangan mengheret kita di dewan.

“Mana-mana Yang Berhormat menggunakan platform ini untuk tujuan memperkenakan kawan-kawan, saya dah pastikan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika sesi pemasyhuran sebelum memulakan Sesi Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.

Sementara itu, Johari berharap semua ahli Dewan Rakyat dapat merealisasikan lima prinsip Rukun Negara yang dilafazkan ketika permulaan sesi persidangan berkenaan.

“Kita baru sahaja sebentar tadi, berikrar untuk mencapai lima prinsip Rukun Negara. Saya berharap YB dapat berusaha mencapai prinsip berkenaan.

“YB hendaklah menunjukkan contoh baik kepada rakyat sepanjang berada dalam dewan ini kerana kita semua disaksikan rakyat melalui pelbagai platform, selain sentiasa mempamerkan kematangan semasa berucap atau berbahas, termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti diikrarkan tadi,” katanya.

Related Articles

Back to top button