Nasional

KKM pastikan penjagaan, keselamatan pesakit jantung tidak terjejas termasuk golongan pesara

Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan laporan yang mendakwa pesakit terdiri pesara dan penjawat awam akan dikeluarkan dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dirujuk ke pusat jantung berhampiran dengan tempat tinggal mereka untuk mengurangkan kos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit hanya dibenarkan discaj setelah keadaan mereka stabil dan dirujuk ke pusat-pusat jantung KKM yang lain.

“Sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN dan terutamanya untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama’ Pusat Jantung KKM.

“KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN, menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Paling penting, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas termasuk pesara-pesara kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Dzulkefly, KKM turut mempunyai 10 buah hospital yang mempunyai perkhidmatan kardiologi termasuk tujuh buah yang mempunyai perkhidmatan surgeri kardiotorasik.

Dalam pada itu, KKM menerusi satu kenyataan berkata, pesakit hanya dikeluarkan dari IJN apabila keadaan mereka stabil, dengan tempoh pemantauan sekurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan setahun hingga dua tahun bagi kanak-kanak.

“Pesakit yang stabil ini kemudian kembali ke hospital kerajaan untuk penjagaan lanjut bawah Jabatan Kardiologi dan Kardiotorasik.

“Pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, sekali gus meningkatkan keberkesanan kos,” katanya.

Terdahulu, tular satu surat yang disiarkan di portal kesihatan Code Blue pada Isnin, di mana seorang pesara berkata beliau terkejut kerana dimaklumkan akan dikeluarkan dari IJN walaupun menerima rawatan lanjut selama 25 tahun.

Pesara itu berkata, beliau dimaklumkan IJN mengikut arahan KKM dan pakar jantung memaklumkannya IJN tiada pilihan memandangkan kerajaan sedang mengurangkan kos.

Related Articles

Back to top button