Semasa

KPM komited pastikan MBPK dapat pendidikan berkualiti tinggi melalui pendekatan manusiawi

Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksana pendekatan manusiawi bagi memastikan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mendapat pendidikan berkualiti tinggi, relevan dengan keperluan semasa dan pada masa depan.

KPM dalam satu kenyataan berkata akan melaksana Sistem Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) sebagai satu bentuk pentaksiran khusus untuk mentaksir kemampuan dan kebolehan MBPK.

Ia bagi membangunkan potensi murid berdasarkan konsep mengesan kebolehan dalam ketidakbolehan sekaligus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM). MBPK di sekolah menengah yang tidak menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) boleh menduduki PASM dan memperoleh SASM, kata kenyataan tersebut.

PASM akan merangkumi lima domain utama iaitu Kerohanian dan Nilai Murni; Akademik Fungsian; Pembangunan Personal dan Kemahiran; Interpersonal; Hidup Berdikari dan Pembangunan Kerjaya.

Melalui kaedah pentaksiran alternatif ini, ibu bapa atau penjaga MBPK dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak.

“KPM sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan MBPK menerusi pengiktirafan, motivasi dan keyakinan bahawa mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sesuatu bidang.

“Murid MBPK yang tamat persekolahan diharapkan mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas yang dapat membantu mereka menceburi bidang pekerjaan bersesuaian dengan tahap keupayaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia MADANI,” tambah kenyataan tersebut.

BACA LAGI: KPM galakkan pelajar jalankan aktiviti pembelajaran di Tapak Warisan UNESCO

Mengulas lanjut KPM berkata, PASM terbuka kepada semua MBPK yang berada di institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Ia akan dilaksanakan secara berterusan ketika calon PASM berada pada peringkat menengah dengan menggunakan Environment-based Assesment Instrument (EBAI) dan Dokumen Standard Pentaksiran Alternatif.

“PASM dilaksanakan secara sistematik dan berbantukan teknologi bermula daripada pendaftaran hingga ke pensijilan SASM,” kata kenyataan yang sama.

Related Articles

Back to top button